Isnin, 29 Jun 2009

KEMBALIKAN KESEPAKATAN DAN PERPADUAN MELAYU

Wujud tanggapan bahawa perpecahan orang Melayu sehingga menampakkan kelemahan adalah sesuatu yang berlaku secara berkala. Dengan kata lain, ada masanya Melayu dilihat begitu kuat dan ada kalanya pula ikatan kekuatan itu mudah longgar.


Dalam situasi yang dihadapi sekarang ramai percaya akan tiba waktunya perpaduan Melayu akan kembali utuh. Kali ini dengan momentum yang lebih besar akibat desakan melampau yang secara jelas mempertikaikan hak keistimewaan Melayu serta melanggar prinsip kontrak sosial yang sudah lama disepakati.

Persoalannya, bilakah masanya Melayu akan bersatu (dengan kekuatan sebenar) semula? Bagaimana ia akan berlaku? Kenapa ia perlu menunggu masa yang sesuai? Kenapa tidak Melayu itu sentiasa bersatu sejak dari dulu dan selamanya?

Apakah boleh Melayu zaman ini mempunyai harapan untuk kembali bersatu? Apa pula petunjuk yang akan merealisasikan hasrat tersebut? Jawapan kepada semua persoalan ini terletak kepada pembaca tulisan ini.

Persepakatan Melayu mempunyai pengalaman yang berliku. Sejarah perpaduan Melayu menyaksikan persefahaman yang berlaku satu ketika dahulu cukup kuat.

Walaupun dalam ruang rumah politik yang berlainan tetapi nada yang dilontarkan terhadap perkara yang berhubung dengan kepentingan Melayu cukup jelas, kemas dan sepakat. Langsung tiada rasa was-was atau cuba untuk meraih kepentingan sendiri.

Kesepakatan Melayu secara keseluruhan dapat dilihat sewaktu bersama menuntut kemerdekaan negara. Orang Melayu ketika itu bagaikan hanya memiliki 'satu hati' untuk mencapai matlamat tersebut.

Malahan orang Melayu telah membuktikan bahawa mereka sanggup berkorban demi mencapai kemerdekaan dalam bentuk memberikan hak dan peluang kepada kaum yang bukan penduduk asal di dalam negara ini berkongsi negara dengan mereka.

Merantaulah ke seluruh pelosok dunia pasti tak tercari bandingannya terhadap nilai 'pemberian' Melayu ini.

Atas dasar ini, maka tidak hairanlah satu ketika dahulu Tun Tan Siew Sin pernah mengatakan toleransi orang Melayu ini merupakan sesuatu yang perlu sentiasa dikenang dan kaum Cina tidak mampu untuk meminta lebih dari itu.

Malangnya, terdapat juga suara kecil yang mengkritik 'pemberian' ini dan menganggap pemimpin Melayu bertindak bodoh. Tapi 'kebodohan' inilah yang menjamin mulut yang mengkritik serta keluarga mereka dapat merasai nikmat kemerdekaan dan keamanan hingga ke hari ini.

Mereka wajar sedar bahawa tidak ada negara yang tidak merdeka ketika itu mampu mewujudkan kesejahteraan kepada rakyat apatah lagi untuk melaksanakan tugas-tugas kebajikan.

KEUPAYAAN

Namun, falsafah sebenar 'pemberian' Melayu ketika itu amat jarang diperkatakan iaitu sebagai satu bukti bahawa orang Melayu mempunyai keupayaan untuk menjaga kebajikan kaum lain. Inilah syarat utama yang diletakkan British jika Tanah Melayu ingin merdeka lebih 50 tahun yang lalu.

Sejarah telah menyaksikan British akhirnya mengakui keupayaan Melayu untuk menjaga kebajikan kaum lain yang menjadi pemastautin di negara ini terutama kaum Cina dan India.

Sejarah juga telah melakarkan kita berjaya mengalahkan British yang pernah menang di dalam perang dunia ke-2. Tiada siapa yang berani melawan British ketika itu tetapi pada tahun 1957 pemimpin Melayu berjaya menewaskan mereka dengan hanya satu kekuatan iaitu kekuatan perpaduan

Persepakatan Melayu yang kental, sekali lagi dapat dilihat pada tahun 1974. Ini berikutan setelah berlakunya peristiwa konfrantasi dan tragedi 13 Mei. Ke- sepakatan Melayu atas prinsip kerjasama ditonjolkan di dalam pilihan raya umum 1974. Satu kejutan (sebenarnya satu rahmat) apabila di dalam pilihan raya 1974, Pas membuat keputusan untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Hasilnya, UMNO bertanding 61 kerusi dan menang 61 kerusi. Pas pula bertanding 14 kerusi dan menang juga 14 kerusi. Apakah maknanya kemenangan sebegini terhadap penyatuan Melayu?

Sekali lagi pembaca budiman perlu menilainya. Dalam hal ini, siapa kata Pas tidak sanggup berkorban untuk Melayu? Bahkan tindakan Pas ketika inilah menjadikan semangat Melayu semakin kental. Walaupun cerita ini cerita 35 tahun yang lalu tetapi pengorbanan Pas di waktu itu wajar dihargai.

Namun alangkah baiknya jika semangat Pas seperti ini terus hidup. Untuk melihat Pas menyertai BN semula mungkin sukar walaupun tidak mustahil berlaku. Tetapi untuk Pas meneruskan perjuangan dan meraih sokongan yang lebih besar wajar diusahakan. Itu lebih baik daripada Pas terikut dengan rentak politik 'merbahaya' Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malang juga kerana sekarang ini sudah kelihatan seorang dua pemimpin kanan Pas mudah goyah dengan permainan politik kotor PKR. Mustahil kepada Pas untuk tidak memahami perjuangan sebenar PKR.

Pas bukanlah sebuah parti baru yang masih perlu ditunjuk ajar. Jika Pas mahu mengekalkan pengaruh tradisinya sewajarnya mereka mengenepikan cara politik yang dibawa pemimpin PKR, Anwar Ibrahim.

Pas pastinya jelas bahawa menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat melalui jalan belakang adalah saluran yang tidak demokratik. Bahkan satu perbuatan yang tidak bertamadun. Mahukah nanti Pas ingin turut sama digelar 'Bapa Kemusnahan Demokrasi Malaysia'?

Walaupun Pas kini mewakili pembangkang namun alangkah baiknya jika Pas memegang prinsip sendiri serta turut memainkan peranan sebagai 'penjaga' demokrasi negara.

Inilah juga masanya bagi Pas untuk merebut peluang bagi menyakinkan seluruh rakyat bahawa mereka juga mampu mentadbir negara sebagaimana UMNO (BN) lakukan sebelum ini. Pas hanya perlu menunggu masa dan peluang.

BERTINDAK

Kenapa tiba-tiba harapan ini disandarkan kepada Pas? Jawapannya terang lagi bersuluh kerana dalam pada kepentingan Melayu dipertikaikan secara terbuka, UMNO yang selama ini diharapkan tidak mampu untuk bertindak segera. Sebaliknya UMNO dilihat lebih berminat menumpukan usaha untuk merebut jawatan.

Kenyataan ini wajar dibaca secara positif. Tidak mustahil orang Melayu akan sepakat mengharapkan Pas jika UMNO terus leka dengan perebutan dalaman yang tiada penghujung.

Jika UMNO ikhlas mereka perlu mengiktiraf pemimpin sedia ada, eratkan persefahaman serta mengenepikan soal pangkat dan jawatan. Kalau ini tidak berlaku, UMNO bakal meniti hari kemusnahan.

Harapan kepada PKR tentulah jauh sekali kerana pendekatan yang dibawa jelas menyimpang daripada prinsip murni demokrasi. Hanya segelintir sahaja yang terpesona.

Mahukah kita membenarkan PKR berjaya menanam 'benih songsang' terhadap demokrasi negara?

Perjuangan yang berlandaskan dendam kesumat. Perjuangan seperti ini wajar kita orang Melayu tolak sama sekali tanpa perlu berfikir panjang.

Dalam menghadapi apa yang sedang berlaku maka sewajarnya kita memilih untuk memikirkan yang terbaik. Berfikirlah untuk kemajuan agama, bangsa dan negara.


Masa ini bukannya masa untuk menjatuhkan kerajaan yang telah dipilih. Lebih penting, masa ini adalah masa untuk kita senada, seia dan sekata.

Calon BN di Man U (Manek Urai)

KUALA KRAI, 29 Jun – Sebagai calon pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Manek Urai, Tuan Aziz Tuan Mat merupakan produk anak tempatan yang bukan sahaja berjaya dalam bidang profesional malah terbukti aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan sentiasa berdampingan dengan rakyat setempat.

Pengurus Bahagian Pemantauan Projek Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Tuan Aziz Tuan Mat, 39, telah dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini sebagaimana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini semalam.

Tuan Aziz adalah anak jati Kuala Krai yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yok Chai sebelum berpindah ke Sekolah Kebangsaan Sultan Yahya Petra dan seterusnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra dan Sekolah Menengah Teknik Terengganu.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia, anak keempat dari enam beradik itu bertugas di beberapa buah syarikat swasta di Kuala Lumpur seperti Kontena Nasional sebelum kembali ke Kuala Krai untuk berkhidmat bersama Kesedar pada tahun 1997.

Suami kepada Suzana Husin, seorang guru di Sekolah Menengah Tengku Indera Putera II, Gua Musang dan bapa kepada tiga orang anak ini ternyata berpengalaman luas dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat setempat.

Penglibatan pemegang Ijazah Sarjanamuda Pengurusan Teknologi itu dalam aktiviti kemasyarakatan dan sosial seperti Majlis Belia, Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) banyak menyerlahkan keprihatinannya terhadap masalah dan agenda semasa yang dilalui oleh rakyat dan golongan muda melalui pelbagai aktiviti.

Justeru, telah terbukti bahawa kejayaan cemerlang Ketua Pemuda UMNO Kuala Krai ini mampu menjadi wadah kepada masyarakat untuk kesinambungan pembangunan dan kemajuan masyarakat kekal utuh bersama Barisan Nasional.

Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Pilihlah BN.

Sabtu, 6 Jun 2009

Kelangsungan institusi beraja

Keutuhan ini nampaknya sedikit tercabar dengan tindakan segelintir individu yang disifatkan oleh satu pihak lain sebagai mencabar kesucian institusi beraja.


TANGGAL 6 Jun setiap tahun, rakyat negara ini menyambut Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong. Persoalannya, apa signifikannya hari tersebut kepada lebih 26 juta individu yang diiktiraf sebagai warganegara Malaysia?

Ramai mengangguk jika dikatakan hari tersebut lebih dilihat sebagai hari cuti umum yang sentiasa ditunggu-tunggu, selain masa paling sesuai untuk bersantai sambil menonton pelbagai rancangan menarik yang disiarkan di televisyen.

Hakikatnya, Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong itu merupakan salah satu simbol penting ketuanan Melayu dan penyatuan bangsa Malaysia yang berbilang bangsa.

Malaysia mengamalkan sistem monarki yang cukup unik berikutan sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dalam demokrasi berparlimen yang diamalkannya.

Tidak diwarisi turun temurun, pemilihan pemilik gelaran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini dipilih secara giliran setiap lima tahun, antara sembilan pemerintah Negeri Melayu.

Sejak dahulu lagi, institusi diraja cukup dihormati dan dipandang tinggi oleh segenap lapisan masyarakat. Namun, keutuhan itu nampaknya sedikit tercabar dengan tindakan segelintir individu yang disifatkan oleh satu pihak lain sebagai mencabar kesucian institusi tersebut.

Kebanyakan insiden berlaku akibat ketegangan dalam pelantikan jawatan Menteri Besar. Sama ada di Perlis, Terengganu dan yang terbaru di Perak, kekecohan itu seakan memberi gambaran bahawa institusi beraja tidak lagi dihormati oleh rakyat sebagaimana sepatutnya.

Itu belum dicampur dengan tulisan-tulisan dalam laman web dan blog yang didakwa secara terang-terangan menghina raja.

Buktinya, pada April lalu Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) telah membuat laporan polis terhadap tiga orang penulis yang menggunakan nama samaran Pasok, Sandokan dan Agadam Magadam.

RAJA yang disayangi dan dihormati ialah raja yang dekat dengan rakyatnya.

Artikel bertajuk Raja Nazrin Defends Monarchy Against Redicule itu nyata membangkitkan kemarahan orang ramai.

Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay berpandangan penyiaran artikel itu bersifat kurang ajar dan biadap terhadap institusi beraja.

"Kedaulatan raja-raja Melayu perlu dipertahankan kerana ia menjadi lambang maruah bangsa Melayu dan agama Islam. Maka, rakyat perlu lebih rasional serta tidak terikut dengan fahaman politik dan ideologi yang berbeza," katanya.

Timbalan Pengerusi Pewaris, Rahimuddin Md. Harun pula menyifatkan tindakan biadap penulis artikel itu sebagai serius kerana bersifat provokasi terhadap institusi raja Melayu dan bangsa Melayu.

"Proses demokrasi dan pilihan rakyat telah lama menjamin kesejahteraan penduduk berbilang kaum. Janganlah bersifat fanatik sehingga mengganggu kestabilan negara," ujarnya.

Kebimbangan terhadap 'penolakan' itu turut dikongsi oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dalam titahnya pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-81 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.



SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-12 bertitah...

Jelas baginda, kelangsungan sesuatu bangsa dan wajah sesebuah negara bergantung kepada elemen-elemen yang telah memberikannya identiti dari aspek institusi, bahasa, agama dan budaya.

"Tindakan menghina, mempersendakan institusi dan menanam kebencian terhadap institusi merupakan langkah awal dalam usaha menghapuskan institusi, kemudiannya menghilangkan identiti asal negara bangsa," titah baginda.

Baginda mengambil contoh pada era perang dingin, langkah-langkah sedemikian dilakukan oleh pihak yang berpegang pada doktrin politik berfahaman kiri dan bersifat subversif.

Biarpun begitu, Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff menyatakan apa jua yang berlaku dalam politik negara, Malaysia kekal menjadi sebuah negara berkerajaan Melayu.



SENTIMEN mendaulatkan institusi beraja dalam kalangan orang Melayu masih kukuh.

Maksudnya, negara yang diperintah oleh pemimpin Melayu dengan simbol politiknya ialah raja. Alasannya, sudah tertulis dalam Perlembagaan bahawa syarat untuk menjadi raja ialah seseorang itu mestilah Melayu, lelaki dan Islam.

"Itulah yang dipanggil kontrak sosial untuk kita selama-lamanya mengekalkan negara ini sebagai negara Melayu. Pelindung kepada negara Melayu pastinya institusi beraja.

"Dalam perlembagaan, di bawah perkara 159 fasa 5, terdapat beberapa perkara yang berkaitan dengan institusi Melayu, Raja-raja Melayu dan kedudukan orang Melayu yang tidak boleh dipinda, tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-raja.

"Berpegang kepada prinsip tersebut, biar apa pun yang berlaku dalam senario politik semasa, selagi Perlembagaan itu tidak dipinda, maka akan kekallah raja sebagai sebuah institusi," katanya.

Beliau yang juga seorang penganalisis politik turut mengingatkan bahawa institusi beraja adalah satu simbol negara. Tidak akan ada Parlimen yang terdiri daripada tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat tanpa adanya raja.

Ia merupakan satu institusi yang mesti didokong oleh rakyat, selagi Malaysia mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

"Sebab itulah, apa sahaja kekecohan tentang peranan dan kedudukan raja yang berlaku sekarang, ia hanyalah satu proses berpolitik yang tidak bermaksud untuk menukar sebuah negara bersistem raja berperlembagaan kepada negara republik.

"Tidak boleh bertukar kepada negara republik kecuali menerusi revolusi yang tidak lagi berlaku dalam abad ini. Dalam konteks sekarang, sebagai sebuah negara majmuk yang ada undang-undang sekatan dan melarang sama sekali perbuatan yang boleh menghancurkan institusi negara, saya tidak nampak bagaimana kedudukan raja-raja Melayu akan terancam," tambah Mohammad Agus.

Kemarahan rakyat, rasa tidak puas hati atau wujudnya perbezaan pandangan adalah biasa dalam proses berpolitik. Tetapi senario itu tidak membawa kepada perpecahan atau kehancuran institusi beraja.

Beliau tidak menafikan situasi itu boleh memesongkan perhatian rakyat, tetapi ia akan berada di tahap itu sahaja. Ini kerana, untuk meminda atau menukar sistem raja berperlembagaan, ia mesti dilakukan melalui pindaan Perlembagaan yang tidak mungkin boleh berlaku.

Namun, institusi beraja boleh runtuh apabila ia tidak lagi disokong oleh rakyat. Dalam erti kata lain, raja terlalu jauh dengan rakyat.

Misalnya, keruntuhan sistem monarki di Nepal. Siapa sangka sebuah negara di Himalaya yang sebelum ini rakyatnya begitu menghormati raja, keadaan sebegitu boleh terjadi.

--------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah, setakat ini masih ada check and balance yang membolehkan kuasa raja di Malaysia sukar untuk jatuh. Lagi pun, raja di Malaysia ialah raja berperlembagaan, bukannya raja mutlak.

Jadi, dengan jaminan Perlembagaan dan sokongan orang Melayu, sukar untuk membayangkan ia akan runtuh sebagaimana di Nepal.

"Untuk memartabatkan kembali institusi beraja, raja yang perlu berubah, bukannya rakyat. Ini termasuklah sikap, gaya hidup dan tindakan mereka demi untuk mendapat penghormatan.

"Hatta dalam kes di Perak pun, ada masalah-masalah tertentu yang berkaitan dengan politik yang dilihat oleh rakyat supaya raja bertindak adil.

Saya fikir itu, ada asasnya. Asas itu bukan bererti mereka hendak membuang institusi beraja. Mereka cuma tidak berpuas hati dengan tindakan raja. Itu dua situasi yang sangat berbeza

"Sama seperti apabila rakyat mengkritik kerajaan. Kritik dan menegur itu perkara biasa dalam proses berpolitik. Kalau kita beranggapan dan rasa takut ada terhadap pihak yang mahu membuang institusi beraja, kita sudah over board," katanya panjang lebar.

Justeru, Mohammad Agus berpendapat berekspresi dalam berpolitik, menegakkan demokrasi, hak asasi dan keadilan itu perlu kerana rakyat bertanggungjawab mengawal salah laku para pemimpin.

"Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Itulah yang perlu difahami. Raja mestilah mengikut lunas undang-undang dan mendengar suara rakyat. Barulah raja akan mendapat penghormatan.

"Jika raja tidak berlaku adil, baginda akan disanggah. Bukan bermakna raja dibuang, tetapi rakyat tidak akan menghormati lagi institusi beraja."

sumber:kosmo online

Khamis, 4 Jun 2009

'Keriang Acheh' Naik Tocang

Pemuda UMNO hari ini kecewa dan kesal dengan desakan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang menggesa pihak berkuasa mengenakan tindakan selari dengan Akta Hasutan ke atas penulis artikel ‘Melayu dikhianati?’ di Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata niat dan premis perbahasan artikel tersebut mestilah difahami secara menyeluruh dan tidak melihatnya secara terpisah.

Menurut beliau pihaknya tidak melihat sebarang kesalahan, waima niat yang menyinggung sama sekali dengan memberikan dua rujukan bahan teras sejarah dalam menggambarkan keperluan hubungan antara kaum dipelihara dalam konteks hari ini.

“Kenyataan dua tokoh besar, Tun Tan Siew Sin dan bekas pemimpin MIC sendiri, Tun V.T. Sambanthan diangkat oleh Mingguan Malaysia sebagai ’sumber rujukan sejarah’ yang tulen dan asli. Apakah wajar ‘merujuk kepada sejarah’ dianggap sebagai amalan yang berunsur ‘hasutan’ dan berniat jahat?

”Sebagai pemimpin veteran yang lama dan amat ‘terkait’ dengan sejarah hubungan antara kaum di Malaysia; kita percaya Dato’ Seri Samy Vellu sewajarnya dapat memahami niat artikel tersebut dengan lebih ‘berhikmah’”, katanya.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu hari ini menggesa supaya penulis artikel yang didakwa berunsur perkauman yang disiarkan dalam Utusan Malaysia didakwa di bawah Akta Hasutan.

Beliau mengutuk penulis tersebut kerana secara tidak langsung telah merujuk kepada kaum India dan Cina di Malaysia sebagai “kaum pendatang”.

Tegas Reezal lagi, reaksi keterlaluan pihak-pihak tertentu, termasuk menganggap kenyataan tersebut berunsur rasis bagaikan mahu menidakkan sentimen kekecewaan orang Melayu yang terus didesak dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

“Utusan Malaysia mempunyai hak dan tanggungjawab moral untuk mengemukakan pandangan masyarakat Melayu di peringkat akar umbi.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ingin mempertahan pandangan bahawa artikel tersebut tidak mempunyai niat dan motif yang tidak baik”, katanya.

(Dipetik daripada www.pemudasp.com)