Jumaat, 4 September 2009

Peneroka FELDA dapat habuan...

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian wang raya kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara sempena kedatangan Syawal tidak lama lagi.

Beliau berkata, bagi tujuan itu pihak Felda memperuntukkan sebanyak RM37.23 juta dan mereka dijadualkan menerima wang tersebut mulai minggu depan.

Menurutnya, terdapat dua kategori wang raya yang akan diberikan kepada peneroka iaitu RM350 seorang dan RM150 seorang.

‘‘Seramai 101,672 peneroka atau 90.27 peratus yang masih bersama Felda akan menerima RM350 seorang dan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM35.59 juta.

‘‘Seramai 10,963 atau 9.73 peratus peneroka yang tidak lagi bersama Felda akan menerima RM150 seorang. Jumlah ini pula melibatkan peruntukan sebanyak RM1.64 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan Felda di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Perdana Menteri berkata, amalan pemberian wang raya oleh Felda kepada peneroka itu telah dilaksanakan sejak tahun 2003.

Mengenai perbezaan jumlah yang diberikan kepada para peneroka, beliau berkata, ia adalah sebagai menghargai sumbangan peneroka yang masih bersama dengan Felda.

‘‘Perbezaan kadar bayaran ini adalah sebagai menghargai sumbangan yang lebih diberikan oleh peneroka yang menyertai program bersama Felda,’’ katanya.

Dalam pada itu, Najib amat berharap pemberian wang raya tersebut dapat meringankan beban kewangan keluarga peneroka dalam membuat persiapan menyambut hari lebaran.

‘‘Saya juga ingin mengambil kesempatan merayu agar peneroka yang tidak bersama Felda supaya kembali bersama Felda bagi memaju dan memakmurkan lagi tanah-tanah rancangan kita,” ujarnya.

p/s:peneroka ja ka yang membangunkan negara tercinta ini...bagaimana dengan kakitangan awam & swasta...ada bonus raya ke???

Tiada ulasan: