Sabtu, 31 Oktober 2009

Sekolah Satu Aliran

Kerajaan akan mengambil kira pandangan rakyat sebelum membuat keputusan melaksanakan sekolah satu aliran bagi menjaga sensiviti kaum di negara ini.Begitulah kata Datuk Seri Najib Tun Razak.Perdana Menteri berkata kerajaan akan hanya mengubah sesuatu dasar sekiranya dipersetujui rakyat dan jika sebaliknya, dasar sedia ada akan dikekalkan.

Beliau berkata perubahan kepada sistem satu aliran memerlukan anjakan besar daripada segi dasar dan ia juga menimbulkan persoalan sama ada masyarakat negara ini bersedia untuk menafikan hak memilih jenis pendidikan.

"Saya fikir perkara ini belum ada kata putus dalam masyarakat, ada yang fikir baik diadakan sekolah satu aliran malah ada yang fikir bahawa mereka nak juga hak untuk memilih.

"Jadi selagi kita (kerajaan) tidak putuskan mengenai perkara ini, saya tidak mahu berlaku perbalahan dalam masyarakat kerana soal pendidikan ini amat sensitif," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan perdana menteri bersama warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB di ibunegara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan beberapa anggota parlimen yang mahukan kerajaan mewujudkan sekolah satu aliran selepas cadangan itu ditimbulkan oleh tokoh sejarah dan akademik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim minggu lepas.

Khoo dilaporkan berkata sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai kerana sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Najib berkata terdapat pelbagai pendapat dalam soal pendidikan."Soal pendidikan ini ada macam-macam pendapat. Kita sudah bermula dengan satu kedudukan di mana kita memberi setiap warga Malaysia, kumpulan etnik dan komuniti hak untuk memilih jenis pendidikan.

"Kita hanya akan mengubah dasar berdasarkan kepada kehendak masyarakat, kalau masyarakat bersedia untuk membuat perubahan kita akan ubah, selagi masyarakat tak bersedia kita akan kekalkan seperti mana sedia ada," katanya.

Najib berkata tidak ada gunanya kerajaan mengubah dasar kepada sekolah satu aliran sekiranya keputusan tersebut boleh menyebabkan perbalahan dan ketegangan dalam politik, masyarakat dan sosial kerana menurutnya sebarang keputusan kerajaan adalah untuk membawa perpaduan kepada semua.

Perubahan dasar kepada sekolah satu aliran, tujuan kita hanyalah untuk perpaduan semua kaum.

Rabu, 21 Oktober 2009

Politik Suam Sejuk


senario politik la ni mcm mana?lepas blk kl ari tu,semua semangat berkobar2 pabila dengar ucapan PM kita,DSN.semua nak buat,itu ini begitu begini.dua tiga ari sejuk pula la.berblk pd PAU baru2 ni, dlm sejarah aku sbg ahli UMNO inilah kali pertama tiada pemerhati yg dibawakan khas oleh bahagian.mungkin duit habis dah kot (buat belanja jamuan raya) atau inilah perubahan yg dicanang2 sejak pemilihan yg baru lalu.mcm mana kita nak bersatu bersetia berkhidmat kalau benda yg ckit2 ni pun x boleh selesai.akar umbi akan tanya yg bukan2,yg dok kat atas apa yg depa tau,dasar dasar dasar...yg kat bhgn kipaih kipaih kipaih ja pungkok org atas...yes bosss yes bosss,janji masyukkkk.ada juga yg ada jwtn kat bhgn tapi apa pun x tau, yg tau angguk2 geleng2...yg ada kebolehan,ketrampilan,keyakinan diri dan kesungguhan bekerja utk parti dan rakyat akar umbi dikaih ketepi,nun cerukkkk sana.
:))))
pakat2 kita pikiaq nooo

Selasa, 20 Oktober 2009

16 September,Hari Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun, diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan. Beliau yang mengumumkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat semalam berkata, pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

“Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan dari penjajahan, yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu.

“Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia,” katanya.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang bertanya sejauh mana penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia dan jenis-jenis program yang difikirkan berkesan untuk mencapai hasrat tersebut.
Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas bermula tepat pukul 10 pagi semalamdengan menyaksikan Perdana Menteri sebagai yang pertama memberikan jawapan bagi sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pagi semalam.

Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di mana Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963. Najib berkata, pembentukan Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat merupakan titik sejarah yang amat penting dan mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak dirasai oleh rakyat di Semenanjung.

Khamis, 8 Oktober 2009

Lagu Lama Dendangan Pembangkang

PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentu tidak menyangka hanya 20 orang hadir pada pertemuannya dengan bekas tentera di sebuah hotel di Port Dickson malam semalam.
Ini sesuatu yang jarang berlaku. Selalunya dalam ceramah Pas audiennya mencecah ribuan orang. Kadang-kadang mereka mendakwa ia mencecah puluhan ribu.
Tetapi di Bagan Pinang senario berbeza. Ceramah pembangkang tidak begitu mendapat sambutan. Kadang-kadang jumlah yang datang berniaga lebih ramai daripada yang datang mendengar.
Malah ada cakap-cakap mengatakan sudah terdapat penyokong Pas yang beransur-ansur meninggalkan Bagan Pinang. Namun pemimpinnya tetap berkeyakinan untuk menang.
Malah ada pandangan yang mengatakan Pas tidak serius bertanding di Bagan Pinang berbanding di beberapa pilihan raya kecil lain sebelum ini.
Mungkin mereka sudah dapat melihat dan menilai kecenderungan pengundi di kawasan ini. Hanya pada hari penamaan calon Pas dan rakan-rakannya nampak agresif. Namun selepas itu pergerakan jenteranya mula perlahan.
Malah calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar yang telah tiga kali tewas sebelum ini juga belum betul-betul dikenali oleh pengundi.
Poster yang memaparkan wajah calon Pas itu boleh dikatakan langsung tidak ada. Yang banyak kelihatan ialah bendera Pas, Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
Di sesetangah tempat bendera PKR dan DAP lebih banyak daripada Pas. Selain itu poster-poster wajah pemimpin pembangkang memang banyak. Tetapi yang memaparkan wajah Zulkefly sukar untuk dicari.
Mungkin strategi Pas lebih mahu mengetengahkan parti berbanding calon. Ini kerana Zulkefly bukan anak tempatan berbanding calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang dibesarkan di Bagan Pinang.
Namun begitu, Pas tidak akan mengalah sebelum bertanding. Pemimpinnya tetap yakin untuk menang di Bagan Pinang. Begitu juga dengan rakan-rakan dalam pakatannya.
Dalam setiap kempen dan ceramah, mereka yakin BN akan menerima satu lagi kekalahan dalam pilinan raya kecil. Itu keyakinan yang dibawa oleh Pas dan rakan-rakan. Sudah tentu ia tidak boleh dipandang ringan oleh jentera BN.
Tetapi seperti dalam setiap pilihan raya sejak 1999, pembangkang hanya membawa isu yang sama.
Lagu yang mereka bawa adalah lagu lama. Tidak pernah berubah. Rentaknya adalah rentak Datuk Seri Anwar Ibrahim, iramanya penuh dengan pendedahan dan liriknya bersifat serangan peribadi.
Abdul Hadi dalam ceramah sulungnya di Bagan Serai misalnya menjadikan serangan terhadap isteri Perdana Menteri sebagai mukadimahnya.
Pada masa yang sama mereka mengutuk tindakan pemimpin BN menghentam Anwar. Alasannya, Anwar tidak ada kena mengenai dengan Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang.
Tetapi mereka boleh pula melakukannya. Termasuk mengheret keluarga orang lain ke kancah politik di Bagan Pinang. Sedangkan kebanyakan individu yang mereka sebut itu tidak ada kena mengena dengan Bagan Pinang.
Ahli Parlimen Bagan Serai, P. Golakrishnan yang begitu bangga dengan kebolehannya menuturkan ayat suci al Quran dari surah Al-Imran banyak bercerita tentang apa yang berlaku di Perak selain mempertahankan Anwar.
Apa kena mengena isu di Perak, Terengganu, Zon Bebas Pelabuhan Kelang dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan pilihan raya kecil ini?
Itulah yang dikatakan kata dulang paku serpih atau tepuk air di dulang mercik ke muka sendiri. Atau lebih menjijikkan ludah ke langit jatuh ke muka sendiri.
Mereka mengkritik calon BN kerana membawa isu luar dan melakukan serangan terhadap individu yang tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil ini, tetapi mereka juga melakukan perkara yang sama.
Penceramah hebat pembangkang seperti Naib Presiden PKR, Azmin Ali hanya bercakap mengenai Anwar selain isu-isu luar yang tidak ada kena mengena dengan penduduk di Bagan Pinang.
Malah dalam usaha merasionalkan tindakannya mempertahankan Anwar, Azmin berkata Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang sebenarnya bukan antara Mohd. Isa dan Zulkefly, tetapi antara bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dengan Anwar.
Adakah ini bermakna Zulkefly hanya alat mereka di Bagan Pinang? Adakah kehadiran Zulkefly itu tidak membawa apa-apa makna sebab itu posternya tidak kelihatan di Bagan Pinang? Sedangkan beliau adalah calon yang bertanding.
Begitu juga dengan bekas penceramah bebas yang hebat satu ketika dulu Dr. Badrul Amin Bahrun. Nama Anwar tidak terlepas di bibirnya.
Satu lagi yang suka dijaja oleh penceramah-penceramah hebat pembangkang ialah mengenai kerajaan mereka di Selangor.
Tetapi isu yang dijual bukan mengenai kejayaan membina ladang babi mega di Sepang atau keupayaan perniagaan arak menembusi pasaran di Shah Alam. Malah mereka juga tidak bercakap mengenai kebolehan menangani isu pembinaan kuil Hindu di seksyen 23.
Sebaliknya mereka mengatakan kerajaan Selangor adalah negeri berkebajikan dan jauh lebih baik dari Negeri Sembilan. Sebabnya Selangor beri air percuma kepada penduduknya. Beri duit untuk anak-anak yang cemerlang, bantuan untuk orang miskin dan wanita yang baru bersalin.
Namun hakikat di sebalik kenyataan mendabik dada itu hanya orang Selangor saja yang tahu sejauh mana kebenaran.
Apa relevannya isu Anwar dan kisah 'kejayaan' pakatan pembangkang di Selangor dengan penduduk di Bagan Pinang?
Itu menunjukkan pemimpin daripada PKR misalnya masih tidak boleh membebaskan diri mereka daripada perjuangan peribadi. Ketika Zukefly dan jentera Pas bertungkus lumus untuk meraih sokongan pengundi di Bagan Pinang, pemimpin PKR masih dengan agenda peribadi pemimpin mereka.
Sebab itu mereka tidak habis-habis menjaja nama Anwar ke sana dan ke mari.
Itu juga membuktikan pembangkang masih lagi mendendangkan lagu lama. Lagu yang mereka dendangkan sejak tahun 1999 - ketika era reformasi jalanan.
Adakah lagu lama ini masih lagi relevan untuk didendangkan pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang? Hanya para pengundi di kawasan DUN itu yang boleh menjawabnya pada 11 Oktober ini.
Pengundi yang akan menentukan antara Tan Sri Mohd Isa dan Zulkefly, siapa yang lebih layak untuk menjadi wakil rakyat di kawasan ini.