Rabu, 30 September 2009

Alam Sekitar Perlu Kita Jaga

SUNGAI PASIR - Loji tapisan sisa kumbahan Taman Semarak di sini, dikesan punca bau busuk dan menyebabkan banyak lalat di kawasan berkenaan yang menimbulkan kerisauan penduduk sekitar.

Seorang penduduk, Hashim Othman, berkata, sejak dua hari lepas dia dan keluarganya berasa pelik dengan bau busuk dan lalat yang banyak di kediaman mereka.

Menurutnya, pada mulanya mereka menjang�ka keadaan itu disebabkan daripada longgokan sampah yang bertimbun di kawasan persimpangan berdekatan rumah mereka.

Menurutnya, namun apa yang lebih menghairankan apabila pekerja Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) datang mengangkut sampah itu, bau busuk dan lalat masih banyak dan telah menimbulkan rasa tidak selesa mereka.

“Saya kemudiannya terkejut apabila mendapati terdapat banyak ikan mati dalam kolam loji tapisan sisa kumbahan dan mendapati bau busuk itu datang dari kolam terbabit.

“Apabila saya membuat tinjauan pada pagi ini (semalam), saya mendapati bangkai ikan talapia dan sepat yang mati dalam kolam terbabit semakin banyak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, seorang lagi penduduk, Khairul Anuar Zainol berkata, perkara itu telah membuatkan penduduk di Lorong 2 Taman Semarak dan Taman Permata Semarak menerima kesannya apabila terpaksa berhadapan dengan bau busuk dan kehadiran lalat yang semakin banyak.

Menurutnya, loji terbabit sebelum ini menjadi pilihan kaki pancing untuk memancing dan mengail ikan air tawar dan ini merupakan kali pertama perkara seperti itu terjadi di situ.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab segera datang untuk mengkaji perkara ini dan melihat apa yang sebenarnya berlaku sehingga menyebabkan ikan-ikan di kolam ini mati begitu sahaja dalam jumlah yang banyak.

p/s: kawasan Tikam Batu terutamanya kawasan lampu isyarat sudah bergelap hampir 6 bulan...kerajaan PR tak ada duit ka nak menampung kos elektrik lampu hiasan tue???

Dr. Hassan Ali @ SELCAT

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan kemelut yang membabitkan Exco Kerajaan Negeri berhubung isu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) tidak ada kaitan dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Abdul Khalid berkata, kritikan dan cadangan yang dilontarkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali hanya menyentuh mengenai cara pengendalian Selcat.

“Ini tidak ada kena-mengena dengan pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

“Isu yang timbul hanya membabitkan tentang bagaimana Selcat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangannya berhubung kenyataan Speaker, Teng Chang Kim bahawa tindakan dan kritikan terbuka Dr Hasan mengenai Selcat akan mengganggu pentadbiran PR di negeri ini.

Selain itu Abdul Khalid berkata, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo tidak layak untuk membuat sebarang kenyataan atau menggesa Kerajaan Negeri agar mengambil tindakan terhadap Dr Hasan.

“Dia (Dr Khir) tidak ada ‘locus standi’ untuk membuat apa-apa kenyataan. Dia hanya membuat bising dan jadi ‘tukang sorak’ mengenai isu ini.

“Cadangannya agar Dr Hasan digantung bukan cadangan yang boleh diambil kira...tidak perlu cerita lagi,” katanya.

Kelmarin, Dr Khir mencabar agar Selcat mengambil tindakan terhadap Dr Hasan yang membuat kritikan terbuka mengenai Selcat sama seperti tindakan yang dikenakan ke atasnya dan empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang digantung dari menghadiri sidang DUN selepas mengkritik jawatankuasa itu.

p/s: depa semua boleh, kalau kita siap dicemuh dan dikeji lagi...

Isnin, 14 September 2009

MB Takut Exco Kedah Jadi Katak Spring

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berharap, pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Lim Soo Nee sebagai Exco kerajaan negeri mampu menghentikan khabar angin bahawa beliau akan melompat parti.

Azizan berkata, Soo Nee memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan, Pekerja Ladang serta Masyarakat Siam yang sebelum ini disandang oleh ADUN Bukit Selambau, S. Manikumar.

"Manikumar kini bertanggungjawab untuk memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Sumber Tenaga Manusia, Pembangunan Masyarakat serta Hal Ehwal Masyarakat India," katanya.

Azizan menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis angkat sumpah tersebut di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Sultanah Kedah, Haminah Haminun di Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Menurut Azizan, beliau berharap Soo Nee akan menjalankan tugas dengan baik dan cepat belajar untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan kepadanya.

"Kerja baik-baik dan jangan lompat-lompat parti.

"Spekulasi tidak akan lenyap dan tidak akan berhenti namun kerajaan negeri akan cuba susun dan kawal pentadbiran kerajaan dengan sebaik mungkin," katanya.

Dalam pada itu, Soo Nee berjanji akan cuba menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik.

"Saya akan semak bidang kuasa saya. Saya juga harap khabar angin yang saya akan melompat parti akan dihentikan," ujarnya.

*kalau tiada angin masakan pohon bergoyang berliang-liuk...cukup la sampai setakat ini menipu rakyat....

Jumaat, 4 September 2009

Peneroka FELDA dapat habuan...

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian wang raya kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara sempena kedatangan Syawal tidak lama lagi.

Beliau berkata, bagi tujuan itu pihak Felda memperuntukkan sebanyak RM37.23 juta dan mereka dijadualkan menerima wang tersebut mulai minggu depan.

Menurutnya, terdapat dua kategori wang raya yang akan diberikan kepada peneroka iaitu RM350 seorang dan RM150 seorang.

‘‘Seramai 101,672 peneroka atau 90.27 peratus yang masih bersama Felda akan menerima RM350 seorang dan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM35.59 juta.

‘‘Seramai 10,963 atau 9.73 peratus peneroka yang tidak lagi bersama Felda akan menerima RM150 seorang. Jumlah ini pula melibatkan peruntukan sebanyak RM1.64 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan Felda di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Perdana Menteri berkata, amalan pemberian wang raya oleh Felda kepada peneroka itu telah dilaksanakan sejak tahun 2003.

Mengenai perbezaan jumlah yang diberikan kepada para peneroka, beliau berkata, ia adalah sebagai menghargai sumbangan peneroka yang masih bersama dengan Felda.

‘‘Perbezaan kadar bayaran ini adalah sebagai menghargai sumbangan yang lebih diberikan oleh peneroka yang menyertai program bersama Felda,’’ katanya.

Dalam pada itu, Najib amat berharap pemberian wang raya tersebut dapat meringankan beban kewangan keluarga peneroka dalam membuat persiapan menyambut hari lebaran.

‘‘Saya juga ingin mengambil kesempatan merayu agar peneroka yang tidak bersama Felda supaya kembali bersama Felda bagi memaju dan memakmurkan lagi tanah-tanah rancangan kita,” ujarnya.

p/s:peneroka ja ka yang membangunkan negara tercinta ini...bagaimana dengan kakitangan awam & swasta...ada bonus raya ke???

Scorpene Mantapkan Pertahanan


PELABUHAN KLANG 3 Sept. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menegaskan aset terbaru pertahanan negara iaitu kapal selam KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak adalah bukti kesungguhan kerajaan memastikan kedaulatan negara terus selamat dan terjamin.

Titah baginda, perolehan dua kapal selam Scorpene dari Perancis itu turut memberikan manfaat dalam mewujudkan satu angkatan tentera negara yang lebih berwibawa dan disegani terutamanya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

‘‘Projek perolehan kapal selam TLDM ini adalah satu pelaburan dan komitmen terbesar yang dibuat oleh kerajaan untuk meningkatkan keupayaan tentera Malaysia dalam menentukan kedaulatan negara terjamin dan selamat daripada sebarang ancaman.

‘‘Selain itu, perolehan aset ketenteraan ini juga membolehkan TLDM khususnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi satu angkatan yang lebih berwibawa di rantau ini,” titah baginda.

Tuanku Mizan bertitah demikian ketika menyambut ketibaan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman termasuk 32 anak kapalnya kira-kira pukul 8 pagi ini di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah di sini hari ini.

Turut hadir Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

KD Tunku Abdul Rahman diserahkan secara rasmi kepada kerajaan oleh syarikat kontraktornya, Armaris pada 25 Januari lalu dan pentauliahan kapal berkuasa diesel-elektrik itu ke dalam perkhidmatan TLDM disempurnakan pada 27 Januari oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (depan kiri), Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Mohd. Sidek Hassan, Azizan Ariffin, Musa Hassan dan Abdul Aziz Jaafar (kanan) bergambar di atas kapal selam KD Tunku Abdul Rahman yang selamat tiba di Pangkalan Pusat Hidrografi Nasional TLDM di Pulau Indah, Klang, semalam. – Utusan/Saharuddin Abdullah

KD Tunku Abdul Rahman memulakan pelayaran pulang ke negara ini dari Toulon, Perancis pada 11 Julai lalu selepas selesai pembinaannya serta menjalani latihan selama empat bulan meliputi kemahiran serta penyenggaraan.

Dalam tempoh pelayaran yang meliputi jarak sejauh 6,000 batu nautika, KD Tunku Abdul Rahman telah singgah di beberapa pelabuhan utama dunia meliputi Jeddah, Djibouti dan Cochin di India.

Tuanku Mizan turut melahirkan rasa kagum terhadap anak kapal KD Tunku Abdul Rahman yang berjaya mengharungi latihan selama empat tahun bagi memahirkan diri dalam pengendalian serta taktik peperangan kapal selam.

‘‘Beta sedar kapal selam memerlukan warga kerja yang memiliki kecenderungan dan kemahiran yang tinggi bagi mengoperasi dan mengendalikannya.

‘‘Maka kejayaan ini juga hasil dedikasi, kerjasama dan komitmen yang cemerlang semua warga KD Tunku Abdul Rahman selaras dengan cogan kata TLDM iaitu Sedia Berkorban,” jelas baginda.

Tuanku Mizan turut mengingatkan TLDM supaya menjaga dan menggunakan sepenuhnya aset penting dan berteknologi tinggi seperti KD Tunku Abdul Rahman bagi memastikan kredibiliti angkatan laut itu sebagai pasukan yang menjaga perairan negara terus terpelihara.
sumber:Utusan Malaysia Online