Isnin, 27 April 2009

Lagu 1Malaysia simbol perjuangan rakyat Malaysia pelbagai kaum

KUALA KLAWANG 27 April — Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan mengadakan peraduan mencipta lagu ’1Malaysia’ sebagai simbol perjuangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata seperti juga lagu ’Budi Bahasa Budaya Kita’ dan kempen membaca yang dicipta tidak lama dulu yang banyak menerapkan nilai murni, bahasa yang digunakan dalam lagu itu harus dapat menarik masyarakat dan begitu juga liriknya memikat perhatian mereka yang mendengarnya.
“InsyaAllah, peraduan itu saya kira akan mendapat sambutan dan pemilihan lagu itu akan dapat kita putuskan mana yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam dan pertandingan karaoke anjuran Kelab Rekreasi Warga Tua Kuala Klawang di sini, malam tadi.
Rais, yang juga anggota Parlimen Jelebu, berkata lagu ini bukan sesuatu yang wajib tetapi ia akan memberi satu representasi atau pun perwakilan sentimen pelbagai kaum di negara ini.
Katanya lagu 1Malaysia dalam Bahasa Malaysia ini akan disebarluaskan di semua stesen televisyen dan radio seiring dengan konsep 1Malaysia yang diinginkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama
*Utusan Online*

Tiada ulasan: