Keutuhan ini nampaknya sedikit tercabar dengan tindakan segelintir individu yang disifatkan oleh satu pihak lain sebagai mencabar kesucian institusi beraja.
TANGGAL 6 Jun setiap tahun, rakyat negara ini menyambut Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong. Persoalannya, apa signifikannya hari tersebut kepada lebih 26 juta individu yang diiktiraf sebagai warganegara Malaysia?
Ramai mengangguk jika dikatakan hari tersebut lebih dilihat sebagai hari cuti umum yang sentiasa ditunggu-tunggu, selain masa paling sesuai untuk bersantai sambil menonton pelbagai rancangan menarik yang disiarkan di televisyen.
Hakikatnya, Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong itu merupakan salah satu simbol penting ketuanan Melayu dan penyatuan bangsa Malaysia yang berbilang bangsa.
Malaysia mengamalkan sistem monarki yang cukup unik berikutan sistem kerajaan Raja Berperlembagaan dalam demokrasi berparlimen yang diamalkannya.
Tidak diwarisi turun temurun, pemilihan pemilik gelaran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini dipilih secara giliran setiap lima tahun, antara sembilan pemerintah Negeri Melayu.
Sejak dahulu lagi, institusi diraja cukup dihormati dan dipandang tinggi oleh segenap lapisan masyarakat. Namun, keutuhan itu nampaknya sedikit tercabar dengan tindakan segelintir individu yang disifatkan oleh satu pihak lain sebagai mencabar kesucian institusi tersebut.
Kebanyakan insiden berlaku akibat ketegangan dalam pelantikan jawatan Menteri Besar. Sama ada di Perlis, Terengganu dan yang terbaru di Perak, kekecohan itu seakan memberi gambaran bahawa institusi beraja tidak lagi dihormati oleh rakyat sebagaimana sepatutnya.
Itu belum dicampur dengan tulisan-tulisan dalam laman web dan blog yang didakwa secara terang-terangan menghina raja.
Buktinya, pada April lalu Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) telah membuat laporan polis terhadap tiga orang penulis yang menggunakan nama samaran Pasok, Sandokan dan Agadam Magadam.
RAJA yang disayangi dan dihormati ialah raja yang dekat dengan rakyatnya.
Artikel bertajuk Raja Nazrin Defends Monarchy Against Redicule itu nyata membangkitkan kemarahan orang ramai.
Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay berpandangan penyiaran artikel itu bersifat kurang ajar dan biadap terhadap institusi beraja.
"Kedaulatan raja-raja Melayu perlu dipertahankan kerana ia menjadi lambang maruah bangsa Melayu dan agama Islam. Maka, rakyat perlu lebih rasional serta tidak terikut dengan fahaman politik dan ideologi yang berbeza," katanya.
Timbalan Pengerusi Pewaris, Rahimuddin Md. Harun pula menyifatkan tindakan biadap penulis artikel itu sebagai serius kerana bersifat provokasi terhadap institusi raja Melayu dan bangsa Melayu.
"Proses demokrasi dan pilihan rakyat telah lama menjamin kesejahteraan penduduk berbilang kaum. Janganlah bersifat fanatik sehingga mengganggu kestabilan negara," ujarnya.
Kebimbangan terhadap 'penolakan' itu turut dikongsi oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dalam titahnya pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-81 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.
SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-12 bertitah...
Jelas baginda, kelangsungan sesuatu bangsa dan wajah sesebuah negara bergantung kepada elemen-elemen yang telah memberikannya identiti dari aspek institusi, bahasa, agama dan budaya.
"Tindakan menghina, mempersendakan institusi dan menanam kebencian terhadap institusi merupakan langkah awal dalam usaha menghapuskan institusi, kemudiannya menghilangkan identiti asal negara bangsa," titah baginda.
Baginda mengambil contoh pada era perang dingin, langkah-langkah sedemikian dilakukan oleh pihak yang berpegang pada doktrin politik berfahaman kiri dan bersifat subversif.
Biarpun begitu, Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff menyatakan apa jua yang berlaku dalam politik negara, Malaysia kekal menjadi sebuah negara berkerajaan Melayu.
SENTIMEN mendaulatkan institusi beraja dalam kalangan orang Melayu masih kukuh.
Maksudnya, negara yang diperintah oleh pemimpin Melayu dengan simbol politiknya ialah raja. Alasannya, sudah tertulis dalam Perlembagaan bahawa syarat untuk menjadi raja ialah seseorang itu mestilah Melayu, lelaki dan Islam.
"Itulah yang dipanggil kontrak sosial untuk kita selama-lamanya mengekalkan negara ini sebagai negara Melayu. Pelindung kepada negara Melayu pastinya institusi beraja.
"Dalam perlembagaan, di bawah perkara 159 fasa 5, terdapat beberapa perkara yang berkaitan dengan institusi Melayu, Raja-raja Melayu dan kedudukan orang Melayu yang tidak boleh dipinda, tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-raja.
"Berpegang kepada prinsip tersebut, biar apa pun yang berlaku dalam senario politik semasa, selagi Perlembagaan itu tidak dipinda, maka akan kekallah raja sebagai sebuah institusi," katanya.
Beliau yang juga seorang penganalisis politik turut mengingatkan bahawa institusi beraja adalah satu simbol negara. Tidak akan ada Parlimen yang terdiri daripada tiga komponen iaitu Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat tanpa adanya raja.
Ia merupakan satu institusi yang mesti didokong oleh rakyat, selagi Malaysia mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
"Sebab itulah, apa sahaja kekecohan tentang peranan dan kedudukan raja yang berlaku sekarang, ia hanyalah satu proses berpolitik yang tidak bermaksud untuk menukar sebuah negara bersistem raja berperlembagaan kepada negara republik.
"Tidak boleh bertukar kepada negara republik kecuali menerusi revolusi yang tidak lagi berlaku dalam abad ini. Dalam konteks sekarang, sebagai sebuah negara majmuk yang ada undang-undang sekatan dan melarang sama sekali perbuatan yang boleh menghancurkan institusi negara, saya tidak nampak bagaimana kedudukan raja-raja Melayu akan terancam," tambah Mohammad Agus.
Kemarahan rakyat, rasa tidak puas hati atau wujudnya perbezaan pandangan adalah biasa dalam proses berpolitik. Tetapi senario itu tidak membawa kepada perpecahan atau kehancuran institusi beraja.
Beliau tidak menafikan situasi itu boleh memesongkan perhatian rakyat, tetapi ia akan berada di tahap itu sahaja. Ini kerana, untuk meminda atau menukar sistem raja berperlembagaan, ia mesti dilakukan melalui pindaan Perlembagaan yang tidak mungkin boleh berlaku.
Namun, institusi beraja boleh runtuh apabila ia tidak lagi disokong oleh rakyat. Dalam erti kata lain, raja terlalu jauh dengan rakyat.
Misalnya, keruntuhan sistem monarki di Nepal. Siapa sangka sebuah negara di Himalaya yang sebelum ini rakyatnya begitu menghormati raja, keadaan sebegitu boleh terjadi.
--------------------------------------------------------------------------------
Alhamdulillah, setakat ini masih ada check and balance yang membolehkan kuasa raja di Malaysia sukar untuk jatuh. Lagi pun, raja di Malaysia ialah raja berperlembagaan, bukannya raja mutlak.
Jadi, dengan jaminan Perlembagaan dan sokongan orang Melayu, sukar untuk membayangkan ia akan runtuh sebagaimana di Nepal.
"Untuk memartabatkan kembali institusi beraja, raja yang perlu berubah, bukannya rakyat. Ini termasuklah sikap, gaya hidup dan tindakan mereka demi untuk mendapat penghormatan.
"Hatta dalam kes di Perak pun, ada masalah-masalah tertentu yang berkaitan dengan politik yang dilihat oleh rakyat supaya raja bertindak adil.
Saya fikir itu, ada asasnya. Asas itu bukan bererti mereka hendak membuang institusi beraja. Mereka cuma tidak berpuas hati dengan tindakan raja. Itu dua situasi yang sangat berbeza
"Sama seperti apabila rakyat mengkritik kerajaan. Kritik dan menegur itu perkara biasa dalam proses berpolitik. Kalau kita beranggapan dan rasa takut ada terhadap pihak yang mahu membuang institusi beraja, kita sudah over board," katanya panjang lebar.
Justeru, Mohammad Agus berpendapat berekspresi dalam berpolitik, menegakkan demokrasi, hak asasi dan keadilan itu perlu kerana rakyat bertanggungjawab mengawal salah laku para pemimpin.
"Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Itulah yang perlu difahami. Raja mestilah mengikut lunas undang-undang dan mendengar suara rakyat. Barulah raja akan mendapat penghormatan.
"Jika raja tidak berlaku adil, baginda akan disanggah. Bukan bermakna raja dibuang, tetapi rakyat tidak akan menghormati lagi institusi beraja."
sumber:kosmo online
1 ulasan:
Salam ziarah.......
Catat Ulasan